Kenyataan Aidil Sharin mengenai kesan sokongan pemain ke-12 yang membantu Kuching City meraih tiga mata.

Aidil Sharin Lihat Impak Pemain Ke-12 Bantu Kuching City Raih Tiga Mata..Aidil Sharin Lihat Impak Pemain Ke-12 Bantu Kuching City Raih Tiga Mata

Pengendali Kuching City, Aidil Sharin Sahak akui kehadiran penyokong di stadium sebagai salah satu faktor penting membantu pasukannya meraih kemenangan dengan mengatasi PDRM pada Jumaat.

Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Negeri Sarawak, perancang tengah, Daniel Amier meletakkan Kuching City di hadapan seawal minit kedua perlawanan sekaligus skor 1-0 kekal sehingga tamat babak pertama.

Sepakan penalti yang dianugerahkan buat Kuching City di penghujung permainan disudahkan dengan cemerlang oleh Jordan Mintah bagi memastikan PDRM pulang tanpa sebarang mata ke semenanjung.

Ditemui ketika tamat perlawanan, Aidil Sharin tetap memuji persembahan lawan yang sentiasa menekan anak-anak buahnya sepanjang 90 minit permainan sebelum berjaya keluar sebagai pemenang dalam aksi ini.

”Saya merasakan PDRM tetap pasukan yang kuat, kita menghormati mereka. Mereka hadir dan memberi tekanan yang hebat buat kita sebagai satu pasukan,” ujar Aidil Sharin kepada Astro Arena.

Tambahnya lagi, sokongan luar biasa dari para penyokong di stadium ternyata membawa satu aura untuk membantu pasukannya tampil lebih baik dan menghadiahkan 3 mata di laman sendiri.

”(Akan) tetapi di separuh masa kedua, dengan penyokong yang bersorak walaupun kami membuat kesilapan, mereka (penyokong) masih menyokong kami,” tambah jurulatih kelahiran Singapura itu.

”Malam ini para penyokong sangat membantu kami kerana seperti saya beritahu para pemain dalam bola sepak, kamu mesti berikan aksi dan keputusan yang terbaik barulah peminat akan hadir dari Sarawak, bukan sahaja Kuching.”

Kemenangan ini melonjakkan kedudukan Kuching City ke tangga keenam Liga Super 2024/2025 dengan enam mata sementara The Cops jatuh ke tempat kesembilan dengan empat mata.

Aksi liga seterusnya menyaksikan Aidil Sharin bakal pulang semula ke Alor Setar bersama Kuching City bagi berdepan Kedah DA pada 26 Julai manakala PDRM akan melayani kunjungan JDT di Selayang pada 31 Julai.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *